Ahad, 29 Ogos 2010

BUKAN MUSLIM, MASJID DAN MAINAN POLITIK

BUKAN MUSLIM, MASJID DAN MAINAN POLITIK
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya. Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam.

Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis. Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak. Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar. Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!
Tambah Keliru
Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media. ‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan. Ini dalam masyarakat kita ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas.
Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan. Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!
Masuk Masjid
Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat. Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.
Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:
Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”
Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.
Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.
Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.
Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.
Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.
Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.
Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.
Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.
Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Uthal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam. Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):
“Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).
Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut:
“Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Uthal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)
Luaskan Fungsi Masjid
Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam. Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan non-muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam. Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan. Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?!

PETIKAN DARI : http://drmaza.com/

Ahad, 15 Ogos 2010

KEM SEMARAK RAMADHAN 1431H


KEM SEMARAK RAMADHAN 1431H
TARIKH: 17,18,DAN 19 RAMADHAN BERSAMAAN DENGAN 27,28,29 OGOS 2010
TEMPAT : MARKAZ PAS PARIT PECHAH MUAR
YURAN PENDAFTARAN : RM50
SASARAN :PELAJAR-PELAJAR BERUMUR 10- 12 TAHUN

UNTUK KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI:
PENGARAH PROGRAM 0196654310

Ahad, 8 Ogos 2010

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.

HADIS: RIWAYAT MUSLIM
KITAB: PUASA
BAB   : Kelebihan Bulan Ramadan

Ahad, 25 Julai 2010

Ijtimak Tarbawi Pemuda Kebangsaan


1. Insyaallah pada bulan oktober 2010 tanggal 1 , 2 dan 3 haribulan , Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Akademi Tarbiyyah Pemuda sekali lagi akan melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila satu Ijtima' Tarbawi Pemuda Kebangsaan akan dianjurkan di Perkarangan Masjid Rusila Terengganu .

2. Ijtima' ini bakal menghimpun 3500 jentera pemuda yang merupakan penggerak dan pengamal tarbiyah disemua peringkat organisasi Dewan Pemuda sebelum satu lagi himpunan besar yang akan menghimpun 30 ribu petugas dan penggerak pilihanraya pemuda pada awal tahun depan di negeri Selangor atau Kedah .

3. Ijtima' Tarbawi Pemuda Kebangsaan adalah himpunan untuk memperkasakan penghayatan dan perlaksanaan amal tarbawi dalam Dewan Pemuda disemua peringkat [ Pusat , Negeri , Kawasan dan cawangan ]

4. Himpunan itu akan bermula pendaftarannya selepas solat jumaat 1 oktober 2010 [ 3.00 - 4.30 pm ] dan akan berakhir dengan solat zuhur pada hari Ahad 3 oktober 2010 [ 2.00 pm ] . Lokasi himpunan ini ialah ruang Masjid Rusila untuk aktiviti indoor sementara perkarangan Masjid Rusila [ mukhayyam \ perkhemahan ] untuk program yang bersifat outdoor .

5. Antara program menarik dan penting ialah :

  • Pembentangan kertas dan taujihat Tarbiyyatur Ruuhiyyah : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil YAB Tuan Guru Dato' Bentara Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat [ al Mursyidul Am PAS ]
  • Talaqqi [ menadah kitab ] Tafsir surah al Hujurat [ sehingga khatam dalam tempoh 3 hari ] : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Yb. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]
  • Amanah Khas Amal Tarbawi oleh : Muraaqibul Am Ikhwanul Muslimin Jordan [ Penterjemah : al Fadhil Ustaz Mohd Khalil Tuan Guru Hj Abdul Hadi ]
  • Taujihat [ motivasi ] Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 1 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Dato' Yahya Othman [ mantan Ahli Majlis Syura Ulama' PAS ]
  • Taujihat Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 2 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Yb. Dato' Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]
  • Pidato - pidato Tarbawi Oleh :
Al Fadhil Yb. Ustaz Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]
Al Fadhil Ustaz Dato' Hj Abu Bakar Chik [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

  • Aktiviti spiritual seperti qiamulail , munajat , al Mathurat al Kubra dan banyak lagi aktiviti yang menarik bersifat amal tarbawi akan dilangsungkan .

6. Komander program besar ini ialah al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi Akademi Tarbiyah Pemuda . Insyaallah selepas selesai retreat Dewan Pemuda PAS Pusat pada awal ogos nanti , beliau akan keluarkan arahan rasmi kepada semua peringkat [ negeri dan kawasan ] untuk mengambil tindakan selayaknya .

7. Saya mengambil langkah mengisytiharkan terlebih dahulu program ini untuk makluman awal kepada semua pihak agar mengosongkan tarikh [ 1 - 3 oktober 2010] bermula dari EXCO DPPP , EXCO DPPN sehinggalah kepada AJK DPP Kawasan dan Jawatan kuasa Pemuda cawangan [ JPC ]

8. Sementara menunggu arahan dan prosuder rasmi dari Akademi Tarbiyah Pemuda , saya harap beberapa tindakan awal bolehlah diambil sekarang , terutama tuan rumah DPP Negeri Terengganu dan demikian juga seluruh negeri kerana ia juga merupakan program induk DPPP . Sementara sasaran program himpunan ini ialah :

  • Seluruh EXCO DPPP [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh EXCO DPPN [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh AJK DPP Kawasan [ tanpa kecuali ]
[ * Juga di buka kepada semua ahli pemuda PAS yang berminat melalui pendaftaran khas direct di pejabat DPP negeri - negeri atau pejabat DPPP .]

9. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sangat mengharapkan agar seluruh pemuda dapat menghadhirkan diri atau menyertai program bersejarah ini untuk kita mengembalikan kemantapan amal tarbawi dan memperkasakan gerakkannya dalam Dewan Pemuda PAS khasnya dan dalam PAS itu sendiri secara amnya .

10. Saya juga mengharapkan para dermawan dan sukarelawan yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlunya PAS menyemarakkan lagi obor Amal Tarbawi agar ia tidak pudar dan malap menghulurkan sumbangan material dan fizikal bagi menjayakannya . Tentunya ini tanggungjawab kita bersama bagi memastikan wajah PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyah unggul di negara ini terus hebat dan berwibawa .

Ustaz Hj. Nasrudin Hassan [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Ahad, 18 Julai 2010

BUKAN MELAYU HILANG KUASA TETAPI UMNO!


Lagu perpaduan dan ketuanaan Melayu dimainkan semula. Siapa lagi kalau bukan pemimpin Umno dan mereka yang sewaktu dengannya. Semua ini memberi petanda cukup jelas Umno kini cukup terdesak dan tersepit sekarang dengan perubahan politik dan anjakan pradigma rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.

Terkini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang selama ini sering menjadi jurucakap Umno semalam meluahkan kebimbangan mengenai kuasa politik orang 'Melayu'.

Mengapa hari ini sibuk-sibuk dengan kuasa ketuanan Melayu? Siapa yang gadai tanah milik Melayu di negara ini? Siapa yang menghapuskan hak istimewa orang Melayu? Siapa yang menghapuskan biasiswa untuk anak-anak Melayu? Orang Melayu tergadai dan merempat di negara sendiri kerana permainan politik Umno yang gila dan rakus bila berkuasa. Bila dah terdesak barulah nak sibuk-sibuk dengan agenda Melayu.

Saya pernah dengar sendiri dari mulut seorang Exco di Melaka, daripada beri ke DAP biar kita pangkah Pas. Inilah satu contoh propaganda Umno! Bila Pas buat ceramah seperti yang berlaku minggu lepas di Dun Bukit Baru, Ketua Menteri Melaka sendiri sengaja buat provokasi buat ceramah hanya selang beberapa puluh meter dari tempat ceramah Pas! Inikah namanya agenda perpaduan dan ketuanan Melayu?

Orang Melayu hari ini makin cerdik, kalau dulu Umno mendabik dada dalam pilihanraya era 1970-an 1980-an dengan kata-kata ' Kalau Umno letak tunggul atau tin kosong jadi calon pilihanraya, Umno tetap boleh menang'. Maka ketika itu yang menjadi calon Umno antaranya ialah yang lulus darjah 6 atau SRP, lulus SPM dah kira cerdik sangat le tu!

Jadi saya cukup bimbang sokongan kuasa politik Melayu yang makin merosot kepada Umno menyebabkan mereka menggunakan taktik kotor dengan memberi status warganegara kepada penduduk tetap dari Indonesia yang jumlahnya bukan sedikit seperti yang didedahkan baru-baru ini. Malah kenyataan Menteri sumber Manusia bahawa kementerian tersebut bercadang memberi status pekerja sah kepada kira-kira 2 juta pendatang haram di negara ini perlu diberi perhatian oleh Pakatan Rakyat tentang tujuan dan muslihat di sebaliknya.

Saya yakin, dalam keadaan terdesak dan tertekan Umno akan sanggup buat apa sahaja untuk kekal berkuasa. Umno sama sekali cukup takut hilang kuasa dalam pilihanraya umum akan datang dan bukannya bimbang hilang ketuanan Melayu.

Petikan Dari : http://angkasanuri.blogspot.com/

Rabu, 2 Jun 2010

Konvoi Gaza-PAS kutuk Israel, minta rakyat Malaysia solat hajat




Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan helikopter tentera Israel yang menyebab 16 orang anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara meninggal dunia dan hampir 30 orang cedera. Rakyat Malaysia antara yang dilaporkan terkorban dalam serangan barbarian ini.

Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza yang mengandungi 7 buah kapal ini telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi mula dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang.

Kapal-kapal ini turut membawa ahli-ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serang-serang yang lebih berat dari regim Israel.

PAS berharap agar Kerajaan Malaysia, OIC dan anggota PBB lain bangkit mengutuk tindakan ganas Israel ini dan menuntut agar kapal-kapal ini dibenarkan masuk menghantar bantuan ke Gaza. Satu persidang khas OIC perlu dilakukan segera bagi membincangkan hal ini.

PAS juga meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine. Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini dan satu demontrasi besar bersama NGO dan penyokong soladariti Palestine akan diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat) dihadapan keduataan Amerika selepas solat Jumaat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sabtu, 24 April 2010

PAS Ada Bukti Kerajaan Malaysia Promosikan Israel Dalam Negara

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang mempromosikan negara Israel dan produk perdagangan mereka melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
PAS telah mendapat maklumat dan beberapa bukti bergambar mengenai perpustakaan MITI yang telah menyediakan satu rak khas untuk bahan bacaan, majalah dan informasi perdagangan negara Israel. Perpustakaan di tingkat 11 ini terbuka bukan sahaja kepada kakitangan tetapi kepada orang ramai terutamanya ahli perniagaan Malaysia untuk rujukan. Oleh itu tindakan MITI ini sekaligus dianggap sebagai satu usaha mempromosikan perdagangan dan Industri Israel dalam negara.
Antara yang boleh ditemui diperputakaan berkenaan adalah majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, Buku Advantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.
Ini bertentangan dengan dasar Kerajaan yang sebelum ini tidak mengiktiraf negara berkenaan. Malah dalam senarai garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada disebutkan bahawa sebarang iklan atau bahan dari negara Israel atau yang berkaitan adalah diharamkan dinegara ini termasuk dalam bentuk majalah atau buku.
PAS hairan, macam mana buku dan majalah ini boleh masuk ke negara ini sedangkan selama ini Menteri MITI mengumumkan di Parlimen bahawa mereka langsung tidak berhubung dengan negara berkenaan. Berkali-kali ahli parlimen tanya tentang hubungan perdagangan Malaysia-Israel tetapi MITI menafikan di parlimen.
Kehadiran rak khas untuk Israel ini membongkar kesangsian rakyat selama ini terhadap dasar Kerajaan yang pada tahun 1994 telah meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel.
PAS juga difahamkan bahawa MITI secara rahsia sebenarnya membenarkan urusan import-eksport ke negara itu dan segala urusan hendaklah dibuat terus kepada Bahagian Kawalan Import Eksport yang mana setiap permohonan akan ditimbang oleh satu jawatankuasa khas.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Israel dalam majalah Israel-Asia Trade terbitan bulan Mac 2006 dimana beliau begitu gembira dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Mahathir Mohamad dan Menterinya Rafidah Aziz yang berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan Israel.
Nampaknya hingga ke hari ini Kerajaan Malaysia yang dipimpin BN masih lagi bermain kayu tiga dengan Israel di belakang rakyat. Jika Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah Syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan APCO Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13. Dan Mukhriz pula diletakan di MITI sebagai Timbalan Menteri bagi melindungi rahsia kepimpinan ayahnya yang begitu banyak bergantung harap dengan kepakaran Israel.
Begitulah akrabnya pemimpin Umno-BN dengan organisasi Israel-Yahudi yang mendokong fahaman Zionis.
PAS yakin, lebih banyak maklumat sulit mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel serta lawatan sulit pemimpin negara disembunyikan oleh Kerajaan. PAS mahukan jawapan kerajaan terhadap hubungan kayu tiga ini dan mengapa Malaysia beria-ria mahu mempromosikan perdagangan dengan Israel.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Terdapat 8 Gambar Dalam Lampiran ini
 
Komentar Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Micha Harish tentang keinginan Malaysia Menjalinkan hubungan dagang dengan negara itu.




PETIKAN DARI : http://idrisahmad.wordpress.com/

Rabu, 7 April 2010

UMNO Terus Memburu Dosa

1. Permulaannya saya bersyukur apabila UMNO menghentikan amalan mengalung bunga ke Tugu Kebangsaan walaupun ianya adalah suatu tindakan yang terlalu lewat setelah mereka bergelumang dengan amalan syirik itu sejak 22 tahun yang lalu setelah Fatwa Syirik dari Majlis Fatwa Kebangsaan digazetkan .

2. Saat semua pihak menumpukan perhatian kepada gaya pendekatan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri yang dikatakan mula mendapat sokongan 68% , tindakan Datuk Najib menghentikan amalan syirik yang sekian lama diamalkan oleh Kerajaan UMNO dan BN sangat dialu - alukan.

3. Amalan syirik ini pernah dihentikan seketika di zaman Tun Dr Mahathir tetapi malang edisi syirik itu terus disuburkan kembali oleh pendiri mazhab Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah . Alhamdulillah , Datuk Seri Najib kembali menghentikannya dan harapan kita agar ia terus dihentikan buat selama - lamanya .

4. Namun malang , apa yang dikatakan UMNO ialah sebuah parti yang dasarnya terus memburu dosa dan selesa untuk terus bergelumang dengan dosa . Manakan tidak , sejurus mereka menghentikan amalan syirik mengalung bunga ke tugu kebangsaan , mereka cipta satu lagi dosa besar yang lain iaitu Judi Sukan .


Firman Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil ?”.
5. Perdana Menteri telah mengemuka cadangan untuk menghalalkan Judi Sukan di dalam negara kita sewaktu menghadhiri Persidangan Asia Credit Suisse kali ke 13 di Hong Kong . Saya kira ini adalah cadangan yang sungguh tidak bertanggungjawab . Bukan sahaja tidak mengambil kira soal dosa pahala tetapi juga dilihat sebagai satu usaha untuk terus menjerumuskan negara dan rakyat ke lembah maksiat serta mungkar .

6.
Antara hikmah mengapa Islam mengharamkan judi adalah sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Dr. Yusof al-Qaradawi antaranya :


a- Kerugian mendorong pihak yang kalah untuk mengulangi lagi, barangkali dengan ulangan yang kedua itu dapat menutup kerugiannya yang pertama. Sedang yang menang, kerana didorong oleh enaknya kemenangan, maka ia tertarik untuk mengulangi lagi. Kemenangannya yang sedikit itu mengajak untuk dapat lebih banyak dan sama sekali dia tidak ingin untuk berhenti.

Begitulah berkaitnya putaran dalam permainan judi, sehingga hampir kedua putaran ini tidak pernah berpisah. Dan inilah rahsia terjadinya pertumpahan darah antara pemain-pemain judi.

b- Hobi ini merosakkan masa dan aktiviti-aktiviti kehidupan dan menyebabkan si pemain-pemainnya menjadi manusia yang tamak, mereka mahu mengambil hak milik orang tetapi tidak mahu memberi .

Selamanya pemain judi sibuk dengan permainannya, sehingga lupa akan kewajibannya kepada Tuhan, kewajibannya akan diri, kewajibannya akan keluarganya dan kewajibannya akan ummat keseluruhannya .

Tidak terlalu jauh kalau orang yang asyik itu akan berani menjual agamanya, harga dirinya dan tanah airnya, demi permainan judi. Kecintaannya terhadap hidangan ini akan mencabut kecintaannya terhadap barang lain, atau nilai apapun.

Keasyikan ini dapat menaburkan benih permainan judi dengan segala macam cara. Sampai pun tentang harga dirinya, keyakinannya dan bangsanya, akan rela dikorbankan demi terlaksananya pekerjaan yang sia-sia ini.

Betapa benarnya dan indahnya susunan al-Quran yang mengkaitkan arak dan judi ini dalam satu rangkaian ayat dan hukumnya, sebab bahayanya terhadap pribadi, keluarga, tanah air dan moral adalah sama.

Betapa benarnya al-Quran yang telah menjelaskan kepada kita, bahwa arak dan judi adalah salah satu daripada perbuatan syaitan; dan kemudian diikutinya dengan menyebut berhala dan azlam serta ditetapkannya kedua hal tersebut sebagai perbuatan yang najis dan harus dijauhi.
Judi yang terdapat di dalam sukan :

a- Menentu dan mengatur perlawanan
· Sebelum pertandingan bermula keputusan perlawanan sudah ditentukan
· Sogokan akan diberikan kepada atlit atau pegawai perlawanan untuk mengatur keputusan pertandingan

b- Bertaruh keputusan pertandingan
· Peminat sukan akan bertaruh untuk satu-satu pertandingan contoh bola sepak. Peminat akan bertaruh dari segi keputusan pertandingan mahupun jaringan.

Impak sekiranya perjudian ini diteruskan di dalam sukan negara kita:

a. Mencemarkan imej Malaysia selaku sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi .

b. Kualiti dan mutu sukan di Malaysia juga akan merosot sekiranya unsure-unsur perjudian sudah bertapak di dalam arena sukan di Malaysia . Ini kerana pertandingan yang diperjudikan itu telah diatur kemenangan mahupun kekalahan masing-masing .

c. Menjejaskan kepercayaan yang datang dari peminat-peminat sukan .

d. Bayaran yang dibuat kepada seseorang secara personal demi merealisasikan pertaruhannya akan menyebabkan hubungan di antara ahli sukan yang sepasukan boleh terjejas.

Petikan Dari : http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Sabtu, 3 April 2010


Najib Razak awal-awal lagi turun padang di Hulu Selangor.
Dalam kenyataan semalam Najib memulakan kempen memberi rasuah politik kepada rakyat dengan berkata bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membina sebuah lagi Projek Perumahan Warga Felda untuk Gugusan Sg. Dusun di daerah Hulu Selangor.azlan

Dengan mulut manis beliau membuat kenyataan bahawa kerajaan sedar tentang keperluan dan permintaan generasi baru yang tinggal di dalam rancangan yang memerlukan rumah kediaman
Beliau demikian di Kuala Kubu Baru semalam.

Sebelum itu, beliau hadir pada satu lagi program rasuah politik di Felda Soeharto di mana beliau merasmikan majlis pecah tanah tapak perumahan generasi kedua Felda. (Itu baru majlis pecah tanah belum 'confirm' lagi - silap-silap kalau BN kalah projek terbengkalai).
Apa yang saya ingin nyatakan di sini bahawa jarang sekali Najib turun padang sebelum penamaan calon. Malah Perdana Menteri sebelum baik di zaman Mahathir atau Pak Lah mereka jarang turun padang pada musim pilihanraya kecil kecuali jika mereka tidak yakin BN menang.
Jadi kemunculan Najib di Hulu Selangor ini menandakan BN berada dalam keadaan tenat dan goyah.
 
Petikan Dari : http://mutaligat.blogspot.com/

Sabtu, 27 Mac 2010

Pinda Rukun Negara

Pinda Rukun Negara
Satu langkah yang Tepat.

1. Gesaan Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ] agar Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dipinda kepada "Kepercayaan [ keyakinan ] kepada Allah" .

2.Sekurang - kurangnya 2 asas utama sebagai latar belakang yang mewajarkan pindaan tersebut dilakukan .

a] Malaysia adalah sebuah negara yang telah mengisytiharkan Islam sebagai agama Rasminya dan ia dimaktubkan didalam perlembagaan negara biarpun menyedari Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk dan ianya diperakui.

b] Masyarakat non muslim sendiri dewasa ini telah memperjuangkan hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah dan ini menjadi satu hikmah yang terbuka untuk kita membawa mereka lebih memahami dan menghayati pengertian kalimah Allah swt tanpa syirik dan menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah swt .

3. Suatu amalan yang telah diterima dan diakui oleh semua bangsa dan agama sebagai rakyat negara ini menyanyikan lagu negeri masing - masing dengan menggunakan kalimah Allah . Sehingga kini penggunaan kalimah Allah dalam lagu - lagu negeri ini tidak pernah dibantah dan dipersoal . [ lihat lirik lagu - lagu negeri ]

a] ...... Segala kebesaran Allah cucurkan * Darjah kemuliaan Allah tambahkan ... [ Kelantan ]

b] .....
Allah selamatkan Sultan Mahkota * Berpanjangan usia di atas Takhta .... [ Kedah ]

c] .....
Ditaati rakyat kiri dan kanan * Iman yang saleh Allah kurniakan .... [ Perak ]

d ] ..... Ya Allah yang Maha Kuasa * Lanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia .... [ Pahang ]

e ]
..... Allah peliharakan Raja kami * Memerintah Terengganu Negeri .... [ Terengganu ]

f ] ..... Allah lanjutkan usia Tuanku * Rakyat mohon restu ..... [ Selangor ]

g ] ..... Allah peliharakan Sultan * 'Nugrahkan Dia segala kehormatan .... [ Johor ]

4. Kerajaan Malaysia melalui pemimpin utamanya berkali - kali mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negera Islam . Justeru itu , wajarlah kerajaan tidak membantah cadangan dan gesaan Tuan Guru Presiden PAS agar Rukun Negara yang pertama itu dipinda menjadi kepercayaan kepada Allah swt .

5. Kepercayaan kepada Tuhan bukan sahaja tidak tepat malah ianya boleh membawa kepada syirik dan membatalkan aqidah ummah . Ia mungkin tidak mengapa kepada golongan non muslim tetapi jelas membawa ancaman kepada iman dan aqidah ummat Islam .

6. Kenapa tidak digunakan kalimah Allah swt di dalam rukun negara bagi menggantikan kalimah Tuhan sementara kalimah Allah swt itu telah diperakui oleh semua termasuk non muslim . Lihat Firman Allah swt dalam surah Lukman ayat 25 :


“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”
7. Kalimah Tuhan tidak membawa kepada erti dan nilai ketuhanan yang sebenar kerana tuhan juga boleh dinisbahkan kepada pelbagai gambaran dan rupa wajah malah sebahagiannya direka cipta oleh manusia . Mana mungkin tuhan direka dan dicipta sebagaimana tuhan sewajarnya adalah yang paling berkuasa , sempurna dan esa .

8. Meminda kalimah tuhan kepada kalimah Allah swt di dalam rukun negara mampu membawa seluruh rakyat memahami dan menghayati nilai dan makna ketuhanan yang sebenar . Selain ianya [ menggunakan kalimah ALlah ] benar dan tepat dengan aqidah ummat Islam ianya juga tidak bersalahan dengan naluri dan hati kecil golongan non muslim dalam mempercayai erti ketuhanan .

9. Nokhtah yang paling penting disini ialah , Kalimah Allah swt tidak sahaja memaparkan nilai ketuhanan yang sebenar sebagai zat tuhan yang maha Esa tetapi penggunaan kalimah Allah swt yang telah diperakui dan diterima oleh semua pihak ini akan menjadi satu platform untuk menyeru atau mengajak seluruh manusia mengabdikan diri kepada Allah swt Tuhan Yang maha Mencipta tanpa lagi mensyirikkanNya .


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah Yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian Yang lain untuk dijadikan orang-orang Yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang menyerah diri kepada Allah swt. [ Islam ] ".
Surah Aali I'mran : 64

10. Rukun negara adalah berfungsi sebagai asas utama kepada rule rakyat dalam membentuk serta mengungguli sistem nilai dan jati diri sebagai warga negara yang baik . Lantaran itu , amatlah wajar rukun negara ini dipinda dengan menukar kalimah tuhan kepada kalimah Allah swt tuhan yang maha mencipta dan memiliki sekelian alam ini serta Dia lah tuhan yang menurunkan wahyu sebagai pekeliling rasmi buat pedoman manusia mengatur kehidupan di atas muka bumi ini dengan sejahtera dan beroleh rahmat serta berkat dariNya . 
Petikan Dari http://episodeperjuangan.blogspot.com/